

14 Mei 2010, jam 9.30mlm, secara rasminya skuad Piala Thomas Malaysia yang diketuai oleh Dato' Lee Chong Wei telah tewas kepada juara bertahan negara China. Harapan yang besar diletakkan oleh rakyat Malaysia sebenarnya adalah kepada pemain perseorangan pertama Malaysia, Dato' Lee Chong Wei dan pasangan beregu pertama Malaysia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong. Namun begitu, pemain China telah menang mudah ke atas kedua-dua tonggak utama Malaysia tersebut dengan perlawanan 'straight set'. Lin Dan telah menewaskan Dato' Lee Chong Wei manakala pasangan beregu Cai Yun dan Fu Hai Feng telah menewaskan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong. Pemain perseorangan kedua negara, Wong Choong Han memikul tanggungjawab berat untuk memberi peluang kepada pasukan Malaysia layak ke peringkat akhir setelah China mendahului Malaysia 2-0. Namun begitu, harapan Malaysia terkubur apabila Wong Choong Han turut tewas di tangan pemain perseorangan kedua China, Chen Jin juga dengan 'straight set'. Jika dilihat ketiga-tiga perlawanan tersebut, pasukan Malaysia sebenarnya mampu memberikan tentangan terhadap pasukan China. Tetapi, para pemain Malaysia banyak melakukan kesilapan-kesilapan seperti kandas di jaring dan bola tangkis keluar gelanggang menyebabkan pemain-pemain China mengutip mata mudah. Selain itu, corak permainan pasukan Malaysia dapat dibaca dengan mudah oleh pemain China dan mereka menggunakan kesempatan tersebut dengan sepenuhnya. Apabila banyak kesilapan sama dilakukan oleh pemain Malaysia, mereka mula rasa tertekan dan kemungkinan kekuatan mental sedikit terganggu di samping memegang harapan rakyat Malaysia untuk mengulangi kejayaan tahun keramat 1992. Selain itu, mungkin juga pemain Malaysia terlalu memikirkan bahawa pasukan China adalah pasukan yang sangat kuat sehingga terlupa kekuatan sendiri. Walaubagaimanapun, kita sebagai rakyat Malaysia harus memberi sokongan yang berterusan kepada skuad badminton Malaysia kerana mereka telah membawa nama Malaysia ke mata dunia. Tidak perlu hanya tunggu apabila menang baru hendak sokong. Seluruh rakyat Malaysia juga harus percaya bahawa Malaysia pasti dapat membawa pulang Piala Thomas suatu hari nanti kerana ianya telah terbukti Malaysia mampu dengan kejayaan pada tahun 1992. Apa yang penting, kita harus belajar dan terus belajar dari kekalahan dan jadikan kemenangan pihak lawan sebagai salah satu sumber untuk merancang strategi yang lebih mantap pada masa akan datang. Semangat 1 Malaysia. Malaysia Boleh!!!